‘Cantik jika PM mulakan tugas baca khutbah Jumaat’ – Fedtri Yahya

0
4
fedtriyahya

PERSONALITI televisyen, Fedtri Yahya mencadangkan Perdana Menteri yang baharu Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan tugas dengan membaca khutbah Jumaat, hari ini.

Cadangan itu ditulis menerusi ciapan di Twitter pengacara TV3 itu, selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) tersebut dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, semalam.

“Rasanya cantik jika Datuk Seri @anwaribrahim boleh jadikan Jumaat pertama esok sebagai #PM10 dengan membaca khutbah solat Jumaat.

“Kita harap masjid lebih makmur dengan sudut keilmuan, melahirkan hujjatul Islam yang berkualiti,” ciapnya.

Ciapan Fedtri itu mendapat maklum balas positif daripada pengikutnya apabila menerima hampir 27,000 tanda suka dan diulang ciap lebih 10,000 kali.

Rata-rata ramai bersetuju dan menyokong cadangan disuarakan personaliti berusia 41 tahun itu.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia sekali gus menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan selepas mendapat sokongan daripada gabungan parti lain.

Kerajaan perpaduan membabitkan gabungan PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Anwar selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, petang semalam.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 5 petang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here