Kerajaan perpaduan telah diperhalusi oleh Agong, Raja-Raja Melayu – Zahid

0
2

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan semua pihak perlu menerima keputusan pembentukan kerajaan perpaduan dengan baik kerana telah diperhalusi oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, walaupun mengambil masa yang lama, beliau bersyukur pembentukan kerajaan baharu itu berjalan lancar.

Beliau juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini.

“Meskipun mengambil masa beberapa hari dan diikuti oleh seluruh dunia proses yang berlaku ini namun kita bersyukur kepada Allah ia berjalan dengan baik tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

“Kita doakan Malaysian akan bertambah baik di bawah Kerajaan Perpaduan yang akan dibentuk nanti di bawah kepimpinan beliau,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, semua pihak wajib menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya bekerjasama membangunkan negara serta mengelakkan kemelut politik yang boleh merencatkan ekonomi dan pembangunan negara.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ia sekali gus menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan selepas mendapat sokongan daripada gabungan parti lain.

Kerajaan perpaduan membabitkan gabungan PH, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here