Anwar jamin pelihara hak orang Melayu, kedudukan Islam

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan perpaduan akan melindungi hak orang Melayu dan mengangkat kedudukan Islam.

Beliau berkata, gabungan kerajaan perpaduan pimpinannya akan mengangkat Bahasa Melayu dan keistimewaan Bumiputera seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berikrar melindungi hak rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, khasnya di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan perpaduan akan tetap menjunjung semangat perlembagaan, selain raja Melayu, agama Islam, hak orang Melayu sebagai induk.

“Saya mahu menekankan saya ialah perdana menteri kepada rakyat Malaysia berbilang kaum supaya kita boleh menyatupadukan negara,” katanya dalam sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri, malam ini.

Anwar selesai mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara petang tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 5 petang.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan pimpinannya bersedia mendukung kestabilan negara dan fokus utamanya adalah ekonomi.

“Fokus utama kita ekonomi. Saya bersyukur atas kepercayaan pelabur ringgit diperkuat dalam bursa saham hari ini,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia baharu, menyaksikan Ringgit Malaysia meningkat setinggi 1.5 peratus, iaitu pergerakan terbaik sejak hampir dua minggu lalu.

Ekuiti juga meningkat sebanyak dua peratus, selepas pembentukan kerajaan baharu PH, sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu.

Pasaran saham Malaysia telah mengakhiri sesi pagi dengan kukuh, dengan indeks utama meningkat sebanyak dua peratus.

Kemudian penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 28.94 mata kepada 1,472.44 daripada 1,443.5 pada Rabu.

Saham pandu pasaran dibuka 7.18 mata lebih tinggi pada 1,450.68. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here