Nurul Huda Abhar
PELAKON dan pengacara popular, Neelofa memahami keadaan yang sedang dihadapi umum berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan berkongsi kata-kata semangat kepada peniaga kecil.
Menurut Neelofa, 31, walaupun diakui ramai bimbang jika PKPB akan berlarutan, tetapi ini adalah tindakan terbaik yang dilakukan kerajaan untuk memerangi wabak Covid-19.
“Saya tahu ketika ini semua orang mempunyai perasaan bercampur baur, tetapi ini merupakan salah satu cara terbaik untuk melandaikan lengkuk penularan Covid-19.
“Saya percaya kita semua mampu menghadapinya bersama. Ikutilah prosedur operasi standard (SOP) dan hanya keluar rumah jika ada urusan penting sahaja. Paling penting sekali, kita jaga kita,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter, semalam.
Sementara itu, aktres kelahiran Kelantan yang juga pemilik jenama Naelofar Hijab ini berharap perkembangan ekonomi pengusaha perniagaan kecil tidak terjejas teruk sepanjang PKPB ini.
Pada masa sama, Neelofa juga menyeru semua memberi sokongan dan membeli barangan yang dijual oleh peniaga kecil.
“Mendoakan dan berharap, agar PKPB kali ini tidak terlalu memberi kesan kepada peniaga kecil khususnya dan rakyat amnya.
“Jom! kita sokong sesama kita. Berbelanja dengan peniaga kecil, bantu promosi. Utamakan produk tempatan,” katanya lagi.

Terdahulu, PKPB dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya bermula hari ini dan berakhir pada 27 Oktober ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas mendengar nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau berkata, ia juga mengambil kira peningkatan dan penularan kes yang berlaku, termasuk di Klang dan Petaling, selain pertambahan jangkitan di Gombak serta daerah lain. – Malaysiapost

