SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail optimis dalam peluang Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang sehingga kini masih belum dapat dibentuk.
Beliau turut meluahkan rasa penat dalam usaha PH mengadakan rundingan bagi membentuk kerajaan gabungan susulan tiada pihak yang mempunyai majoriti mudah menubuhkan kerajaan dan melantik Perdana Menteri ke-10.
“Bertemu berbagai watak, individu dan personaliti. Terakhir dua hari lepas mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Kalau ditanya ada peluang? Saya jawab…optimis.
“Setiap sesuatu yang kita usahakan, wajib diiringi doa. Percaya bahawa Allah SWT lebih mengetahui dan penentu segalanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Saifuddin yang juga calon PH dalam mempertahankan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu yang disandangnya sebelum ini namun tewas pada 19 November lalu, juga meluahkan rasa insaf dengan kekalahan dialaminya.
Beliau tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Roslan Hashim dengan majoriti 13,061 undi yselepas memperoleh 34,469 undi berbanding undi diterimanya 21,408 undi.
“Ini posting (hantaran) pertama saya selepas keputusan PRU-15. Saya terima kekalahan ini dengan penuh keinsafan dan ucapkan tahniah kepada sahabat saya cikgu Roslan mewakili PN.
“Saya ucap terima kasih kepada rakyat Kulim Bandar Baharu dan akan terus bekerja melalui projek foodbank saya.
Hari-hari berikutnya cukup memenatkan,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Saifuddin Nasution

