KEPIMPINAN Barisan Nasional (BN) yang mendesak Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan kerana ingin bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan, diingatkan mengenai aku janji yang ditandatangani mereka.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Lokman Noor Adam, menegaskan pemimpin berkenaan termasuk Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong juga yang sepatutnya diambil tindakan disiplin.
“MCA mendesak supaya Ahmad Zahid meletakkan jawatan kerana membawa BN bekerjasama dengan PH tanpa rujuk kepada Dewan Tertinggi BN, namun mereka lupa sebelum menjadi calon mereka memberi mandat kepada Ahmad Zahid untuk berunding dan membuat keputusan dengan parti mana kita perlu bergabung.
“Sebaliknya Presiden MCA sewajarnya diambil tindakan disiplin melanggar aku janji ini apabila beliau memberikan akuan bersumpah (SD) lain kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun sudah berjanji tidak akan berbuat demikian,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut memuat naik tangkap layar dipercayai aku janji yang ditandatangani calon-calon BN sebelum dinamakan sebagai calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Antara isi kandungan aku janji yang didedahkannya itu adalah calon BN adalah tertakluk kepada segala peruntukan, ketetapan, arahan, dasar, polisi, peraturan, perintah, keputusan dan tatatertib ditetapkan Pemimpin Utama tidak terhad melalui atau bersama Dewan Tertinggi BN atau MKT.
Calon juga akur dan menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada Pemimpin Utama parti dalam memilih, menentukan , memutuskan, seterusnya menamakan dan mencadangkan seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai calon Perdana Menteri.
Selain memberikan sepenuh kepercayaan kepada Pemimpin Utama parti untuk melakukan perbincangan atau apa-apa bentuk perjanjian bagi pembentukan suatu kerajaan gabungan atau campuran yang merangkumi penetapan ketua kerajaan, jemaah menteri dan majlis mesyuarat kerajaan negeri.
Surat aku janji yang dimuat naik oleh Lokman itu tertera nama calon BN bagi Parlimen Bera iaitu Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Malaysiapost

