PH lebih ‘gentleman’ berbanding PN – Asyraf Wajdi

0
3

PERTEMUAN kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hari ini adalah selaras pendirian Dewan Tertinggi BN untuk bersikap terbuka bagi bertemu dan berunding dengan dua parti gabungan terbesar PH dan PN bagi membincangkan mengenai kerajaan perpaduan.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata dua hari lalu kepimpinan PH hadir bertemu kepimpinan BN bagi membentangkan terma dan tawaran mereka jika BN bersetuju membentuk kerajaan perpaduan bersama mereka.

Menurut Asyraf Wajdi, kepimpinan PH lebih ‘gentleman’ dan beradab dengan membuat pertemuan secara rasmi dengan tujuh kepimpinan BN bagi menzahirkan hasrat untuk bekerjasama.

“Sebaliknya, PN masih dengan perangai lama cuba buat ‘dealing’ secara senyap-senyap dan mencuri 10 Ahli-Ahli Parlimen untuk tanda-tangan Surat Akuan Bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Sebab itulah, pertemuan dengan PN yang sepatutnya dijadualkan sejak dua hari lalu terpaksa ditunda beberapa kali. (Kononnya, PN sudah cukup ‘numbers’, bilangan Ahli-Ahli Parlimen yang menyokong perlantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Hinggalah apabila 10 SD yang ditandatangani oleh Ahli-Ahli Parlimen BN ditarik balik atas arahan Dewan Tertinggi BN, barulah mereka menyatakan kesediaan untuk bertemu hari ini jam 3.30 petang.

“Itupun selepas mereka dititah mengadap YDP Agong kelmarin dan dimaklumkan secara rasmi bahawa Tan Sri sudah tidak cukup bilangan SD yang menyokong,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurut Asyraf Wajdi, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam ini akan memperhalusi kedua-dua tawaran PH dan PN sekali gus akan akur dengan Titah Tuanku Agong yang menitahkan agar BN sokong untuk pembentukan kerajaan perpaduan.

“Cuma persoalannya kenapakah PN begitu bongkak dan sombong untuk menolak Titah Nasihat Tuanku Agong agar dibentuk Kerajaan Perpaduan ya?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here