Sedih kalah PRU, Tun M mahu tulis buku sejarah 

0
2

PENGERUSI Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu, mahu menumpukan kepada penulisan berkenaan sejarah dan aktiviti dalam negara. 

Biarpun mengakui sedih dengan kekalahan tersebut, Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata beliau menerima keputusan rakyat dengan hati terbuka. 

Katanya, banyak peristiwa berlaku dalam negara yang belum direkodkan, termasuk apa yang berlaku ketika zaman penjajah British. 

“Saya juga terbuka untuk ditemuduga oleh penulis,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dr Mahathir berkata, oleh kerana Pejuang tewas di semua 125 kawasan ditandingi, maka parti itu tidak dapat menjadi pembangkang dalam Dewan Rakyat. 

Sehubungan itu, katanya, segala perancangan Pejuang untuk negara terpaksa digugurkan, dan hanya boleh melihat arah pemerintahan pihak yang menang. 

“Pejuang berdoa siapa juga yang menjadi kerajaan Malaysia akan dapat pulih segala masalah yang akan dihadapi oleh negara,” ujarnya. 

Selepas beberapa dekad, Dr Mahathir, 97, yang juga calon tertua pada PRU15, menyaksikan kegagalannya menambat hati pengundi di Langkawi apabila hanya memperoleh 4,566 undi. 

Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Presiden Pejuang turut kecundang di Parlimen Jerlun selepas hanya meraih 3,144 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here