YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilapor menitahkan lima wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menghadap, hari ini.
Antara pemimpin yang akan menghadap Agong adalah Richard Riot dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Aaron Ago Dagang dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) serta Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
“Ya, saya boleh mengesahkan Seri Paduka Baginda menitahkan wakil GPS menghadapnya hari ini.
“Sebanyak lima wakil akan menghadap Tuanku,” menurut sebuah portal media tempatan yang memetik sumber.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), GPS menang 23 kerusi Parlimen dengan PBB meraih 14 kerusi, disusuli PRS (5), SUPP (2) dan Parti Demokratik Progresif (3).
Sebelum ini, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata bahawa mereka bersetuju untuk bergabung dengan BN dan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan persekutuan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku calon Perdana Menteri.
Namun, GPS dalam kenyataan terbaharu pada Selasa berkata gabungan itu menyerahkan kepada kebijaksanaan Agong untuk membuat keputusan mengenai calon yang sepatutnya dilantik menjadi Perdana Menteri. – Malaysiapost

