Ahli perniagaan tular pukul isteri dipenjara 3 bulan, denda RM2,000

0
2

SEORANG ahli perniagaan dihukum penjara tiga bulan dan denda RM2,000 di Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah memukul isterinya.

Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Reduan Mahamood, 58, selepas pengakuan bersalah terhadap tuduhan itu, lapor Berita Harian.

Sekiranya tertuduh gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan dia dikenakan tambahan hukuman penjara selama sebulan.

Nik Siti Norazlini dalam hujahnya turut menasihati tertuduh dan mengharapkan hukuman itu dapat memberi pengajaran kepadanya.

“Seorang isteri adalah pendamping bukannya ‘punching bag’. Saya harap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada kamu.

“Jangan buat lagi pada anak, isteri dan kepada sesiapa sekali pun,” katanya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Adriana Mohd Arif, 45, dengan memukul serta menendang menggunakan tangan dan kaki.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Batu 9, Cheras, di sini, pada 14 November lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang menperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shafiq Ahmed Bazari.

Terdahulu, Mohd Shafiq memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap Reduan dengan alasan dia sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Malah, katanya, tertuduh yang juga menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi adalah penyara utama keluarga.

Bagaimanapun, Norfarhanim memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya sebagai pengajaran supaya tertuduh lebih bijak dalam mengambil sebarang tindakan pada masa akan datang. – Malaysiapost

Kredit foto: NSTP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here