Orang ramai berhenti sebar berita palsu tentang Covid-19

0
3

Nurul Huda Abhar

SEBANYAK 273 kertas siasatan dibuka oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung berita palsu tentang Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu sebanyak 136 masih dalam siasatan, 15 kes telah didakwa di mahkamah, dan 21 lagi didapati bersalah.

“Sebanyak 13 kes lagi dalam proses perbicaraan dan 12 diberi notis amaran. Tindakan penguatkuasaan aktif juga sedang dijalankan berdasarkan laporan awam yang diterima.

“Dalam masa yang sama terdapat 390 penafian dan penjelasan berkaitan berita palsu telah diperjelaskan oleh orang ramai kepada Pasukan Respon Pantas (PRP) yang ditubuhkan bagi membantu penyebaran berita palsu berkaitan dengan Covid-19,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Menurut beliau lagi, orang ramai diingatkan agar berhati-hati sebelum menyebarkan maklumat dan kandungan yang tidak pasti kesahihannya.

Tambahnya, paling utama adalah orang ramai perlu menyemak terlebih dahulu kebenaran berita yang diperoleh dan sumber manakah yang mengeluarkan berita tersebut.

“Perkara yang belum sahih jika kita sebarkan, dan itu adalah tidak benar anda juga akan dikenakan tindakan.

“Bukan sahaja yang mencipta berita palsu yang akan dikenakan tindakan tetapi penyebar pun boleh dikenakan tindakan,” ujarnya. -Malaysiapost