BARISAN Nasional (BN) lebih baik bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) berbanding dengan Perikatan Nasional (PN) dalam membentuk kerajaan negeri di Pahang.
Perkara itu dinyatakan Ketua Umno Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin sambil menyatakan sokongan untuk BN dan PH bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri.
Menurut ia setelah tiada parti memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membentuk kerajaan negeri, Sabtu lalu.
“Jika BN kerjasama dengan PH, jawatan menteri besar, insya-Allah dikekalkan milik Umno. Kalau bersama PN tentunya mereka mahu jawatan itu kerana memiliki kelebihan satu kerusi.
“Dalam politik, siapa yang mempunyai majoriti boleh menuntut jawatan menteri besar,” katanya.
Pada PRU15, BN menang 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH dengan lapan kerusi dan PN meraih 17 kerusi.
Susulan itu, kerajaan Pahang ‘tergantung’ kerana tiada mana-mana gabungan parti memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.
Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata, tiada masalah BN kerjasama dengan PH kerana parti itu mempunyai sokongan di bandar boleh memberi tumpuan menjaga kawasan itu melalui portfolio diberikan.
“BN pula boleh menjaga kawasan majoriti Melayu dan kampung supaya masalah rakyat dapat diberi tumpuan dan diselesaikan,” katanya.
Terdahulu PH Pahang dilapor bersetuju menjalinkan kerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri yang tergantung selepas PRU15.
Perkara itu disahkan Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah Ngah. – Malaysiapost

