Tawaran PH, PN akan diperhalusi berlandas prinsip BN – Asyraf Wajdi

0
3

KETUA Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi jaminan apa juga tawaran daripada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) akan dinilai dan diperhalusi dengan sebaiknya.

Beliau berkata, perkara itu akan diteliti dengan berpandukan kepada prinsip asas yang dapat membawa kebaikan dan manfaat kepada kestabilan dan kemakmuran untuk rakyat dan negara.

“Pandangan saya secara peribadi, BN boleh kekal sebagai pembangkang untuk semak dan imbang. 

“Cuma persoalannya, apakah kerajaan boleh dibentuk tanpa BN? Apakah BN wajar biarkan negara berada dalam keadaan parlimen tergantung (hung parliament)?,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi secara sinis berkata, beliau tidak menyangka BN yang dulunya sering dikecam, ditohmah dan difitnah namun kini diminta untuk menilai tawaran daripada PH dan PN. 

“Sedang bermesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional. Tak sangka pula BN yang disumpah seranah, dikecam, ditohmah dan difitnah dengan pelbagai label dan gelaran.

“Namun akhirnya hari ini kepimpinan diminta pula menilai tawaran-tawaran yang ditawarkan oleh PH dan PN hanya untuk membolehkan kerajaan dibentuk,” katanya.

Petang ini, BN dijangka memutuskan sokongannya kepada mana-mana pihak, sama ada PH atau Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan campuran.

Difahamkan, beberapa pemimpin BN tertinggi juga mencadangkan supaya mereka kekal dalam blok pembangkang, namun sedia bekerjasama dengan PH atau PN, hanya terhad kepada rundingan pemilihan calon Perdana Menteri bagi membentuk kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here