Ahmad Shabery nafi keluarkan 10 sebab kenapa BN wajib pilih PH

0
3
my news hub tv

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tampil menafikan dakwaan beliau melancarkan perang psikologi dengan mengemukakan 10 justifikasi kenapa Barisan Nasional (BN) wajib bersama Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, apa jua pendirian parti akan dikeluarkan secara rasmi oleh pihak ibu pejabat Umno dan BN.

“Ini bukan tulisan saya. Apa pun pendirian parti akan dikeluarkan secara rasmi oleh ibu pejabat.

“Doakan yang terbaik…,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa mendakwa kini terdapat usaha mempengaruhi ahli BN supaya menerima kerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Annuar mendakwa usaha itu dilakukan oleh Ahli Majlis Ahmad Shabery dengan mengemukakan 10 justifikasi kenapa BN wajib bersama PH.

Sementara itu, Ahmad Shabery turut memuat naik tangkap layar mesej 10 sebab kenapa BN wajib pilih PH bukan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa dikeluarkan pihaknya dan kini tular di media sosial.

Justifikasi berkenaan adalah:

1. BN sudah ada rekod dan pengalaman buruk bersama PN terutama selepas dikhianati oleh PAS dan PPBM. Beberapa kali tawaran dibuat untuk kerjasama namun PAS tetap memilih PN.

2. BN elok memilih rakan sekutu baru dari DAP yang kini sudah bertukar kepimpinannya kepada Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung.

 MCA sebenarnya adalah parti yang sudah gagal dan seperti selesa dengan kegagalannya untuk merosakkan peluang BN menang di puluhan kerusi BN yang ditandingi.

Jika PAS boleh bekerjasama dengan DAP dahulu sudah tentu BN boleh sahaja membuat kerjasama dengan syarat yang tidak merugikan asas perjuangan BN selama ini.

3. PH di bawah Anwar Ibrahim belum teruji kehebatannya sebagai PM dan mungkin Malaysia boleh menilai kemampuannya bila dipilih nanti.

Persamaan musuh antara BN dan PH iaitu Mahathir dan Muhyidin boleh memudahkan usaha Najib yang selama ini berjaya dihantar ke penjara hasil perancangan licik mereka dibantu oleh pengkhianat-pengkhianat dari UMNO yang turut bersekongkol menjayakannya.

4. BN boleh menjadi kuasa penentu kepada kerajaan baru BN-PH ini dan boleh bertindak keluar kerajaan bila bila masa jika ada dasar dasar yang merugikan Melayu Islam dan Raja-Raja Melayu.

5. Persamaan lain kerana dasar BN sendiri mesra pelbagai kaum dan agama serta komited memerangi salah guna kuasa dan meningkatkan integriti terutama selepas kerajaan gagal PN yang menyamun RM 600 bilion semasa PKP dengan parlimen digantung atas alasan darurat.

6. BN dan PH akan membongkarkan segala salah laku Mahathir dan Muhyidin selama ini dan gabungan PH BN akan menjadi igauan buruk bagi kluster katak dan kluster Putrajaya yang melompat dan mengkhianati parti selepas PRU 14 yang lalu.

7. Negara akan kembali kaya bila duit yang dilarikan Mahathir atau dicuri oleh penyamun dalam Kerajaan Muhyidin sebelum ini berjaya dirampas kembali selepas kerajaan baru BN PH berjaya dibentuk.

8. Orang-orang Mahathir dalam UMNO pasti akan bersuara menentang gabungan ini kerana takut salah laku mereka akan dibongkar selepas berjaya disucikan oleh Mahathir dan Muhyidin sebaik sahaja mereka menyertai PPBM dan PN.

9. Jika ahli ahli UMNO memahami situasi ini senanglah parti membuat keputusan terutama bagi penyokong – penyokong Najib yang melihat bagaimana pemimpin kesayangan mereka sudah dipenjarakan angkara perancangan jahat Mahathir dan Muhyidin.

10. UMNO pasti akan berpecah kerana keputusan sertai PH bila kluster putrajaya akan melompat keluar namun ia lebih baik dari dikuburkan jika menyertai PN yang sudah nampak muslihat jahat mereka selama ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here