Anak muda cetus gelombangan sokongan luar biasa – Ketua Pemuda PN 

0
3

GOLONGAN anak muda pencetus gelombang sokongan luar biasa kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam. 

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, berkata ucapan tahniah juga kepada rakyat Malaysia kerana mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera sepanjang fasa pilihan raya. 

Katanya, ia sekali gus memberi undi kepada kepimpinan yang bersih dan stabil untuk menerajui Malaysia. 

“Terima kasih kepada semua jentera yang sentiasa bersiap-sedia menerima arahan dan menjalankan tugasan dengan sebaiknya. 

“Keikhlasan dan kesungguhan yang ditonjolkan telah membuahkan hasil yang lumayan melalui kemenangan besar Perikatan Nasional dalam PRU 15 ini. 

“Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang mampu membalas setiap masa dan tenaga yang dikorbankan demi menegakkan kebenaran di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ahmad Fadhli berkata, rakyat Malaysia semakin cakna dengan perkembangan semasa dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif fitnah yang dibawa oleh pihak lawan. 

Ujarnya, kemenangan PN merupakan kemenangan rakyat Malaysia. 

“Akhir sekali, Pemuda PN menyokong penuh pembentukan kerajaan PN yang bersih dan stabil di peringkat persekutuan,” katanya. 

Dalam masa sama, katanya Pemuda PN akan terus komited berkhidmat demi kesejahteraan rakyat, seterusnya mengangkat aspirasi agama, nusa dan bangsa dengan sebaiknya. 

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PN dan PAS memperoleh 73 kerusi Parlimen selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here