EMPAT bekas presiden Majlis Peguam menggesa Pakatan Harapan (PH) diberi peluang pertama untuk membentuk kerajaan.
Ia susulan gabungan itu menjadi blok yang memiliki jumlah kerusi terbanyak berbanding gabungan lain iaitu dengan 82 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Parti (termasuk gabungan parti) dengan jumlah kerusi tertinggi akan menjadi yang pertama dipanggil oleh Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan.
“Kemudian terserah kepada parti itu untuk mendapatkan parti lain yang bersetuju bergabung dengan mereka, bagi memperoleh jumlah kerusi yang cukup di Dewan Rakyat,” kata mereka menerusi kenyataan bersama hari ini.
Empat bekas presiden itu ialah Datuk Ambiga Sreenevasan, Yeo Yang Poh, Christopher Leong and Ragunath Kesavan.
Kenyataan itu turut ditandangangi beberapa aktivis dan pengamal undang-undang, iaitu Gurdial S Nijar Zainun Ali, Mohamad Ariff Md Yusof, Kuthubul Zaman Bukhari, Ivy Josiah dan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriots).
Mereka mencadangkan perkara itu dengan memetik penghakiman Mahkamah Rayuan dalam krisis perlembagaan di Perak pada 2009 sebagai kes duluan.
PH yang memperoleh 82 kerusi pada PRU15 belum mendapat cukup bilangan minimum 112 untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Perikatan Nasional (PN) yang memenangi 73 kerusi juga sedang cuba membentuk kerajaan campuran. – Malaysiapost

