BARISAN Nasional (BN) secara rasmi diumumkan sudah memenangi lima kerusi setakat ini membabitkan kawasan dua parlimen di Johor dan satu di Sabah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan BN memenangi kerusi Parlimen P151 Simpang Renggam, P156 Kota Tinggi, P157 Pengerang, P147 Parit Sulong, manakala di Sabah P177 Beaufort.
Kerusi Simpang Renggam dimenangi bekas Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad yang memperoleh 18,312 undi dengan majoriti 1,821 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr Maszlee Malik yang beroleh 16,491 undi.
Hasni turut menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Fazrul Kamat (9,077 undi) dan calon Pejuang, Kamal (251 undi) yang turut hilang wang deposit.
Kota Tinggi pula dimenangi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin yang memperoleh 25,410 undi dengan majoriti 8,390 undi mengalahkan calon PN, Ridhwan Rasman (17,020 undi) dan calon PH, Onn Jaafar (4,903 undi) yang turut hilang deposit.
Kerusi Pengerang kekal milik penyandangnya Datuk Seri Azalina Othman Said yang beroleh 21,738 undi dengan majoriti 5,010 undi menewaskan calon PN, Imam Nizar (16,728 undi) dan calon PH, Che Zakaria Mohd Salleh (3,374 undi) yang turut hilang wang deposit.
Datuk Noraini Ahmad mengekalkan kerusi Parlimen Parit Sulong apabila memperoleh 25,740 undi dengan majoriti 2,021 undi menewaskan calon PN Dr Karim yang mendapat 23,719 undi dan calon PH, Mohd Faizal Dolah (13,495 undi).
Beaufort dimenangi Datuk Situ Aminah Aching yang mendapat 10,570 undi dengan majoriti 2,518 undi mengalahkan lima pencabar dengan tiga daripadanya hilang deposit.
Pencabarnya adalah calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, Datuk Johari Mat Lani (8,052 undi) dan calon PH, Dikin Mudah (7,835 undi).
Calon-calon yang hilang wang pertaruhan adalah calon Parti Warisan, Masri Adul (2,152 undi), calon Bebas, Johan O T Ghani (546 undi) dan seorang lagi calon Bebas, Matlani Sabli (143 undi). – Malaysiapost

