Tiga beradik yatim piatu sekelip mata

0
2

KANAK-KANAK tiga beradik yatim piatu sekelip mata, apabila ibu dan bapanya serta adik bongsu mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 200.5 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, pacuan empat roda jenis Ford Ranger dinaiki keluarga berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok di bahu jalan.

Mereka yang maut ialah pasangan suami isteri, Mohamad Shafiq Zailani, 33 dan Faeiznoor Mansor, 32, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian.

Bayi lelaki pasangan itu yang berusia 10 bulan, Daryan Marwa dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Sementara tiga anak mangsa yang terselamat ialah Mohamad Danish Uqasha 9, Dhia Medina, 5 dan Damiaa Melissa, 2.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu Mohamad Shafiq dalam perjalanan dari Bandar Jengka, Maran menghala ke Kuantan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pokok di bahu jalan.

“Akibat kemalangan, pemandu dan penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian manakala bayi lelaki berusia 10 bulan disahkan meninggal dunia di HTAA, Kuantan.

“Tiga lagi anak pasangan yang cedera dibawa ambulans ke HTAA untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mohamad Shafiq berasal dari Felda Jengka 6, Maran manakala mangsa yang lain beralamat di Felda Bukit Sagu, Kuantan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here