PKPB: GV7 berlangsung tanpa kehadiran penonton

0
2

PROGRAM Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) akan diteruskan walaupun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai hari ini hingga 27 Oktober ini.

Namun, program realiti itu berlangsung tanpa kehadiran penonton, kata Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal.

Beliau berkata, konsert minggu kedua GV7 Ahad ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) diadakan mengikut syarat prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Pihak Astro mengambil keputusan untuk meneruskan GV7 seperti dijadualkan tetapi tanpa kehadiran penonton. Dengan itu, penganjuran dua konsert mingguan yang kebetulan jatuh ketika tempoh PKPB iaitu konsert minggu kedua Ahad ini dan minggu ketiga pada 25 Oktober tetap bersiaran secara langsung dari PICC.

“Namun, hanya kru produksi dan tenaga kerja berdaftar sahaja dibenarkan berada di lokasi untuk mengawal jumlah bilangan kehadiran pada satu-satu masa,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Emarina berkata, pihaknya akan membuat makluman sekiranya ada sebarang perubahan khususnya penganjuran konsert minggu keempat dan seterusnya.

“Ia tertakluk kepada perkembangan situasi semasa pandemik Covid-19 serta kelonggaran diberikan oleh pihak berkuasa, sekiranya ada,” katanya.

GV7 yang mula bersiaran pada Ahad lalu membariskan 14 peserta solo dan berkumpulan. – Malaysiapost