POLIS mengesahkan kekecohan berkaitan pembahagian duit di Parlimen Tanah Merah tiada kaitan dengan proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata apa yang berlaku ialah masalah dalaman parti atau individu tertentu dengan penyokongnya.
Tambahnya, ia tidak berlaku di premis yang terlibat dengan proses pilihan raya.
“Bagaimanapun polis dalam menentukan keamanan dan ketenteraman awam bukan sahaja melihat kepada proses pilihan raya tetapi keseluruhannya.
“Sekiranya terdapat apa-apa yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman awam, polis akan bertindak untuk mengelak perkara yang pincang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, hasil tindakan polis dan perbincangan perkara tersebut telah dapat diselesaikan.
Terdahulu, tular video di media sosial tentang kekecohan berkaitan pembahagian duit pengundi luar Parlimen Tanah Merah. – Malaysiapost

