Bersatulah cegah penularan Covid-19 – Dr Noor Hisham

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengajak rakyat Malaysia untuk bersatu agar dapat menyekat semula penularan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selama tujuh bulan sejak Mac lalu, pihaknya memperoleh pengalaman dan pemahaman baharu yang dilaksanakan dalam pelbagai pendekatan untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Katanya, di seluruh dunia, banyak negara sama seperti Malaysia yang menghadapi pilihan sukar untuk menyeimbangkan antara kehidupan dengan mata pencarian, ketika membuat keputusan tindakan selanjutnya dalam membendung penyebaran virus tersebut.

“Justeru, pihak kami memulakan dengan kaedah proaktif iaitu sekatan pergerakan (lockdown) dan memaksa semua orang untuk tinggal di rumah.

“Kami belajar menguruskan virus dan menerapkan norma baharu dalam kehidupan seharian, iaitu berlatih penjarakan fizikal, memakai penlitup muka dan mencuci tangan secara berkala untuk menghentikan penularan virus,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham berkata, dari segi ekonomi ia memberi impak amat besar dalam melaksanakan tindakan berkenaan serta mempengaruhi semua sektor.

Justeru, katanya, penarikan sekatan tersebut dibuat secara berperingkat dan meneruskan kehidupan seperti biasa dengan penyesuaian terhadap norma baharu.

“Selepas itu, kita bersama-sama berjaya mengawal Covid-19 menjadikan kes aktif ke tahap rendah iaitu tidak memberi kesan kepada sistem penjagaan kesihatan kita.

“Pendekatan lain yang digunakan KKM adalah untuk menangani dengan cara yang sesuai ke daerah sasaran berdasarkan kategori zon hijau, kuning dan merah.

“Namun, pendekatan ini berisiko kerana boleh meningkatkan kembali jumlah kes aktif sekiranya ada penularan komuniti tetapi langkah-langkah kesihatan awam dapat diatasi,” katanya.

Berikutan itu beliau berkata, pembatasan pergerakan orang ramai dilaksanakan, tetapi dengan syarat sektor ekonomi terus berjalan.

“Ia pendekatan yang perlu kita sesuaikan bagi menyekat penularan virus itu dan dalam masa sama memenuhi kehidupan seharian.

“Adalah lebih bijak untuk mencegah penularan membabitkan masyarakat secara meluas, terutama di kawasan padat dan mobiliti penduduk yang tinggi,” katanya.

Oleh itu, beliau menambah, semua pihak perlu bersatu bersama-sama melawan musuh, Covid-19 ini.

“Jangan berpecah-belah kerana perang ini masih belum menang. Kita adalah rakyat Malaysia dan mesti bersama-sama melindungi negara kita kerana orang lain tidak akan melakukannya,” ujarnya. – Malaysiapost