Aminuddin Yahaya
[Sudut Pandang] APA yang berlaku di Istana Negara semalam telah mendedahkan dengan begitu jelas kebobrokan dan kecamukan politik tanah air kini.
Bukan sahaja negara telah menjadi kelam kabut dan rakyat semakin tertekan, malah kini institusi Raja-Raja sendiri sudah seolah-olah dipermain-mainkan tanpa segan silu.
Hanya kerana seorang (atau dua) pemimpin sudah mampu menggugat kestabilan negara dengan begitu mudah apatah lagi jika ramai yang bersikap acuh tak acuh dengan amanah rakyat sehingga mudah lompat melompat atas kepentingan diri atau survival parti.
Apakah negara sedang menuju kehancuran apabila pemimpin-pemimpin negara seringkali berebut kuasa tanpa ambil kisah pun pada implikasinya terhadap kestabilan negara dan aspek-aspek lain?
Apakah fenomena sebegini terjadi begitu sahaja secara kebetulan atau sebenarnya ada ‘pihak lain’ yang sedang mengatur sesuatu supaya negara bergejolak?
Sejarah sudah menunjukkan bahawa musuh akan menyerang apabila negara tidak keruan di mana pemimpin-pemimpin sudah menjadi gila pangkat dan jawatan sehingga rakyat pun hilang dari tumpuan mereka.
Lihatlah sejarah negara mana sekali pun, zaman bila sekali pun, kita akan dapati trendnya sama. Belajarlah daripada sejarah.
Persoalannya, jika benar ada ‘pencatur’ di belakang sana yang sedang menunggu-nunggu saat dan ketika untuk meratah negara ini, maka siapakah mereka itu?
Mungkin rakyat tidak sedar tetapi kebarangkalian ini adalah satu permainan musuh adalah suatu yang tidak boleh diambil remeh dan dipandang sepi.
Lihatlah apa yang terjadi di negara-negara jiran kita yang tiba-tiba sahaja bergolak, apakah ini satu kebetulan?
Namun, saya tidak meletakkan kesalahan ini sepenuhnya kepada politikus semata-mata tetapi kesalahan ini juga perlu diletakkan di bahu kita semua, rakyat jelata.
Kitalah yang memilih pemimpin-pemimpin hari ini. Maka, kitalah juga yang memperjudikan nasib anak cucu kita kepada para politikus ini. Kitalah yang bertanggungjawab pada nasib dan masa depan agama, bangsa dan tanah air kita.
Kalau ada yang bertanya pada saya, apakah jalan penyelesaiannya? Maka, jawapannya ada pada setiap pengundi. Kita semua MESTI melihat politik dari kaca mata yang lebih luas melangkaui kerangka kepartian semata-mata, matang serta berpandangan jauh dalam menilai.
Perubahan tidak akan berlaku jika setiap daripada kita masih taksub dan memilih pemain-pemain politik lama yang sudah lapuk dan luput tetapi berperangai seolah-olah politik negara milik mereka.
Rakyat harus berani membuat perubahan dan memilih pemimpin-pemimpin baharu yang berwawasan. Ini termasuklah akar umbi parti-parti, supaya menaikkan tokoh-tokoh yang berwibawa dan tidak memelihara lagi ‘dinosaur-dinosaur’ politik yang rakus menerkam dan meratah rakyat.
Perubahan ada di tangan kita semua. Fikir-fikirkanlah.
Penulis Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), tulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost
Foto Kredit: Oh Media

