4 Iltizam Perdana Menteri untuk Malaysia

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyenaraikan empat iltizam beliau untuk Malaysia sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat sekali gus meneruskan pentadbirannya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Empat iltizam itu merangkumi usaha beliau menyatupadukan rakyat demi kesejahteraan dan kebajikan Keluarga Malaysia, menyuburkan kemakmuran ekonomi dan pembangunan negara.

Iltizam itu turut merangkumi memelihara kesucian agama Islam tanpa meminggirkan agama lain selaras dengan Perlembagaan Persekutuan selain memperkasa integriti tadbir urus negara.

“Inilah iltizam saya untuk Malaysia, demi kestabilan dan kemakmuran masa depan tanah air kita. Saya, Ismail Sabri Yaakob dengan rendah diri, memohon kepada semua pengundi untuk memberi kepercayaan kepada saya dan Barisan Nasional (BN), menerajui negara bagi penggal akan datang,” katanya.

Mengimbas ketika beliau mula dilantik menjadi Perdana Menteri pada 21 Ogos tahun lalu, Ismail Sabri berkata, tanggungjawab yang digalas bukanlah tugas mudah kerana berlaku dalam situasi politik yang stabil sehingga berlaku peralihan tiga kerajaan dalam tempoh tiga tahun yang merupakan episod gelap kepada negara.

“Ketika itu negara berdepan ancaman pandemik Covid-19 dengan jumlah pesakit harian mencecah puluhan ribu, mengorbankan ratusan rakyat sehari sehingga menyebabkan fasiliti perubatan hampir lumpuh,” katanya.

Ismail Sabri menjelaskan, negara pada masa itu juga berdepan krisis ekonomi dengan jumlah pengangguran meningkat lebih 700,000 orang dan banyak sektor perniagaan terpaksa gulung tikar serta rakyat hilang mata pencarian.

“Sepanjang tempoh 15 bulan, inilah 15 inisiatif yang telah kita capai bersama. Hari ini, keadaan bertambah baik dan kita mampu bergerak maju ke hadapan, namun masih banyak yang perlu kita laksanakan untuk menjadi sebuah negara bangsa yang teguh bersama dan kembali dihormati di persada dunia.

“Pada 19 November ini, Keluarga Malaysia akan melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan negara ini terus ditadbir dengan baik,” katanya.

Pada PRU15, Ismail Sabri selaku penyandang kerusi Parlimen Bera sejak 2004 yang bakal ditentang calon Pakatan Harapan (PH) Abas Awang dan Asmawi Harun dari Perikatan Nasional (PN). -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here