Bawa aspirasi orang muda, kita cakap kita buat – Mohd Rafiq

0
2

Najamuddin Mohd Nor

MOHD Rafiq Mohd disifatkan ‘tawaran’ terbaik dan ikon tepat untuk membawa aspirasi orang muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang, Perak.

Calon Barisan Nasional (BN) berusia 37 tahun itu merupakan pertaruhan terbaik parti itu yang sebelum ini tidak pernah meletakkan calon orang muda di DUN berkenaan.

Mohd Rafiq berkata, dia bertekad memastikan suara dan kehendak orang muda di Pasir Panjang dipenuhi sekali gus menyelesaikan pelbagai isu berkaitan golongan itu selama ini.

“Ini lah peluang kepada orang Pasir Panjang, rebutlah peluang ini khususnya orang muda untuk dapat wakil rakyat yang boleh bekerja, bertenaga dan muda, yang penting boleh membawa aspirasi orang muda di Pasir Panjang.

“Banyak potensi untuk orang muda yang sama-sama boleh kita tingkatkan, peluang pekerjaan dan perniagaan, isu menjana pendapatan tinggi, cipta masa depan anak muda yang lebih cerah, kemudahan moden dan digital yang diperlukan mereka dan sebagainya.

“Sambutan orang muda juga telah memberi semangat kepada saya untuk terus berusaha memberikan yang terbaik membawa aspirasi orang muda, katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Ditanya mengenai perjalanan kempen sepanjang 14 hari ini, Ketua Pemuda Umno Bahagian Lumut itu berkata, sambutan sangat positif daripada penduduk yang inginkan angin perubahan baharu daripada BN.

“Saya sangat terharu dengan sambutan orang di DUN Pasir Panjang, sapaan dan lambaian mesra segenap lapisan umur.

“Mereka nampak dahagakan perubahan, mereka mahukan wakil rakyat yang boleh bekerja untuk mereka, sentiasa cakna dengan isu-isu setempat.

“Insyallah, banyak juga aspek kehidupan yang sama-sama kita boleh baiki, kebajikan untuk rakyat, kemudahan asas dan sebagainya, dan saya beri jaminan akan tunaikan segala tawaran yang saya janjikan sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat,” katanya.

Justeru, Mohd Rafiq berkata, DUN Pasir Panjang memerlukan seorang wakil rakyat yang memiliki pengalaman bekerja untuk rakyat secara pro aktif sekali gus dapat menjaga kebajikan rakyat di kawasan berkenaan.

“Sebenarnya bukan hari ini, saya dah lama bekerja untuk rakyat di Pasir Panjang secara tak rasminya. Kita tidak pernah lupa membantu rakyat.

“Bukan pandemik, waktu pandemik, saya tetap turun padang, membantu rakyat yang dalam kesusahan.

“Sebab itu saya harap, dapat diberi peluang kepada saya untuk mencurahkan bakti, usaha, jiwa raga dan kasih sayang saya untuk Pasir Panjang sebagai wakil rakyat. Saya jamin akan tunaikan janji saya. Kita cakap kita buat!” katanya.

Mohd Rafiq berdepan cabaran sengit di DUN Pasir Panjang yang menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Selain menghadapi cabaran penyandang, Yahaya Md Nor dari Pakatan Harapan (PH), beliau juga akan berdepan cabaran Nur Inderasyawalis Ahmad Mukhtar dari Warisan, Rosli Abd Rahman dari Perikatan Nasional dan Mohd Norazlee Mohd yang mewakili GTA.

Pada PRU14 lalu, DUN Pasir Panjang telah dimenangi Yahaya dengan majoriti 1,223 undi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here