Mahu cari Azam Baki: Bukti PKR amal politik dendam – PM

0
2

Ben Ibrahim

UGUTAN dibuat Timbalan Presiden PKR terhadap Ketua Pesuruhajaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuktikan parti itu mengamalkan politik dendam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sikap calon parlimen Pandan itu jelas menunjukkan parti tersebut tidak sepatutnya diberi mandat mentadbir negara.

“Malahan sikap dendam itu juga terbukti apabila Pakatan Harapan (PH) terus menghukum penjawat awam sehingga ramai kehilangan kerja selepas menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Ini sikap sebenar mereka (PH) yang sentiasa memiliki sikap dendam dan pegawai yang tidak bersama (menyokong) akan dibuang seperti selepas PRU14.

“Penjawat awam jangan sesekali lupa puluhan ribu pegawai kontrak seperti di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Biro Tata Negara (BTN) dan sebahagian kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

“Siapa tidak menyokong mereka (PH), hingga ramai kehilangan kerja,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Bandar 32, di Kemayan di Bera hari ini.

Ismail Sabri berkata, jika peluang diberikan sekali lagi kepada PH, tidak mustahil perkara sama akan berulang.

Katanya, rakyat perlu sedar Barisan Nasional (BN) menjadi parti yang membela nasib rakyat tidak kira siapa dan latar belakang.

Rafizi dalam ceramah mega PH di Johor Bahru, dilaporkan memberi amaran kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki jika gabungan itu memenangi PRU-15, Sabtu ini.

“Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi. Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, Insya-Allah.

“Saya tahu Azam Baki tengok ni! Saya harap bila PH menang bila kami cari kamu, kamu jangan salahkan adik kamu sekali lagi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here