52 PPS dibuka di 8 negeri terjejas banjir

0
2

JUMLAH mangsa banjir di lapan negeri yang terjejas dilaporkan meningkat berbanding semalam dengan keseluruhan mangsa yang dipindahkan adalah seramai 4,411 orang daripada 1,238 keluarga setakat jam 4 pagi tadi.

Berdasarkan laporan situasi banjir di lapan negeri berkenaan iaitu Selangor, Perak, Johor, Pahang, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak yang dikeluarkan di portal bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Selangor dan Kelantan mencatatkan jumlah mangsa melebihi 1,000 orang.

Selangor merekodkan mangsa tertinggi membabitkan seramai 1,914 mangsa daripada 472 keluarga yang dipindahkan ke 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh daerah yang terjejas iaitu Hulu Langat, Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling, Sabak Bernam dan Sepang.

Kelantan mencatatkan seramai 1,053 mangsa daripada 364 keluarga yang dipindahkan ke enam PPS di daerah Pasir Mas.

Banjir di Perak pula mengakibatkan 642 mangsa daripada 188 keluarga dipindahkan ke 10 PPS di enam daerah yang terjejas iaitu Hilir Perak, Hulu Perak, Kerian, daerah Larut, Matang dan Selama, daerah Manjung dan Perak Tengah.

Pahang merekodkan seramai 317 mangsa daripada 92 keluarga yang dipindahkan ke tujuh PPS di daerah Raub yang terjejas, manakala Johor mencatatkan seramai 289 mangsa daripada 72 keluarga yang dipindahkan ke lima PPS di tiga daerah iaitu Kluang, Segamat dan Tangkak.

Di Sarawak seramai 123 mangsa daripada 39 keluarga dipindahkan ke sebuah PPS di daerah Limbang yang terjejas, manakala Melaka merekodkan seramai 44 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Alor Gajah.

Sementara itu, Negeri Sembilan mencatatkan seramai 29 mangsa di daerah Rembau yang terjejas dan ditempatkan di sebuah PPS.

Secara keseluruhan sebanyak 52 PPS dibuka membabitkan 21 daerah yang terjejas akibat banjir di lapan negeri setakat ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here