PEMIMPIN dan penceramah PAS yang mengeluarkan kenyataan ekstrem sehingga mencemarkan imej parti itu ketika berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan ‘digam’ daripada berceramah, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang
Presiden PAS itu berkata, tindakan berkenaan diambil berdasarkan konsep dan dasar yang diamalkan parti itu.
Menurutnya, PAS tidak mengamalkan cara yang kasar, sebaliknya menggunakan pendekatan demokrasi aman sejak dahulu lagi.
“Kita pantau mereka kerana PAS ada dasar iaitu menerang bukan menyerang….itu konsep yang kita bawa.
“(Jadi apabila ada) mana-mana kalangan kita yang mengambil pendekatan menyerang kita ‘gam’ (dan) hentikan daripada ceramah,” katanya ketika berucap di Chukai, Terengganu semalam.
Mengulas berkenaan jumlah pemimpin yang dikenakan tindakan sedemikian, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, terdapat beberapa individu dikenakan tindakan berkenaan.
Beliau berkata, tindakan sedemikian ada kalanya berlaku kerana provokasi dan mereka seharusnya tidak terikut dan perlu bijak menangkis soalan diberikan atau berhati-hati ketika membuat ceramah.
“(Kita) mengambil pendekatan damai (iaitu) menerang bukan menyerang,” katanya.
Sebelum ini, tular video memaparkan Ketua Pemuda PAS Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir, mendakwa mereka yang mengundi Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15 akan masuk neraka.
Selain itu, kenyataan pelakon Zul Huzaimy dalam sebuah ceramah di Terengganu turut mendapat perhatian kerana menyebut mahu menyembelih orang kafir harbi. – Malaysiapost

