KKM cari bekas pesakit Covid-19 untuk penyelidikan

0
3

Nurul Huda Abhar

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru rakyat Malaysia yang pernah dijangkiti kuman Covid-19 untuk menyertai penyelidikan perubatan bertajuk: Kajian Membujur (Longitudinal Study) tindakbalas antibodi neutralisasi di kalangan pesakit Covid-19.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kajian tersebut bertujuan untuk menguji tahap ketahanan antibodi pesakit yang pernah dijangkiti Covid-19 sebelum ini.

“Pengumuman Khas buat rakyat Malaysia yang pernah dijangkiti kuman Covid-19.”

“Sekumpulan penyelidik dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Institut Kesihatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjemput rakyat Malaysia yang pernah dijangkiti kuman Covid-19 untuk menyertai penyelidikan perubatan bertajuk: Kajian Membujur (Longitudinal Study) tindakbalas antibodi neutralisasi di kalangan pesakit Covid-19 di Malaysia.

“Kajian ini penting bagi mengetahui paras antibodi neutralisasi (imuniti) di dalam darah yang boleh menghalang kuman COVID-19 dari menjangkiti pesakit yang pernah dijangkiti sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook sebentar tadi.

Menurut Dr Noor Hisham, penyelidikan ini telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Etika Penyelidikan Perubatan (MREC) KKM (NMRR-20-1676-55108).

“Keterangan lanjut boleh hubungi Dr Rafiza Shaharudin ([email protected]) atau telefon: 03-33627753.

“Atau Dr Masita Arip [email protected] ) di no telefon: 03-33627735,” ujarnya.

Terdahulu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan di sidang media memberitahu status terkini kes sembuh Covid-19 hari ini sebanyak 350 kes.

Ini menjadikan kes sembuh dan discaj keseluruhannya adalah 11,372 kes bersamaan dengan 67.37 peratus. – Malaysiapost