Ahmad Zahid tidak tahu hasrat Ku Li menghadap Agong

0
3

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak diberitahu berkaitan hasrat Ahli Parlimen Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Menurut beliau, pertemuan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu yang juga dikenali dengan nama Ku Li, hanya diketahuinya melalui laporan media tempatan.

“Beliau tidak memaklumkan saya mengenai perkara itu, macam mana saya nak tahu? Saya hanya tahu mengenainya daripada media,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani hari ini.

Terdahulu, Tengku Razaleigh dilihat meninggalkan Istana Negara kira-kira jam 2.43 petang tadi menaiki sebuah kenderaan berwarna gelap selepas menghadap Al-Sultan Abdullah dipercayai berhubung situasi politik terkini.

Bagaimanapun, sehingga kini belum dapat dipastikan tujuan pertemuannya bersama baginda.

Dalam pada itu, satu mesyuarat Biro Politik UMNO turut akan diadakan pada malam ini.

Bagaimanapun, difahamkan mesyuarat berkenaan telah dijadualkan lebih awal dan bukan disebabkan tindakan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Al-Sultan Abdullah pada Selasa. – Malaysiapost