BERBAKI tiga hari menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengambil peluang menyantuni komuniti India di kawasan berkenaan.
Reezal Merican berkata, beliau berpegang kepada prinsip ‘tiada siapa tertinggal’ dalam memberi perkhidmatan kepada warga Kepala Batas.
Katanya, sebagaimana gagasan ‘Keluarga Malaysia’ di peringkat Persekutuan, beliau menggunakan pendekatan sama iaitu ‘Keluarga Kepala Batas’ untuk menyantuni rakyat.
“Saya ke Jalan 3, Bertam untuk menyantuni seterusnya mengambil peluang beramah mesra, mendengar sendiri pandangan dan cadangan dari komuniti India di sini (Kepala Batas).
“Seiring dengan gagasan Keluarga Malaysia di peringkat Persekutuan, begitu jugalah apa yang saya amal dan pertahankan di Kepala Batas ini, ‘no one will be left behind’,” katanya menerusi Facebook.

Reezal Merican berkata, beliau beriltizam untuk meneruskan khidmat terbaik kepada ‘Keluarga Kepala Batas’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kesempatan pada pertemuan ini saya zahirkan penghargaan kepada parti komponen dan Friends of Barisan Nasional seperti MIC, Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) dan Parti Progresif Penduduk (PPP) yang sentiasa berusaha menjulang aspirasi dan kesejahteraan kaum India terutamanya di Kepala Batas ini,” katanya.
Untuk rekod, kerusi Parlimen Kepala Batas menyaksikan pertembungan empat penjuru pada PRU15.
Reezal Merican yang juga Ketua Umno Bahagian Kepala Batas bertanding buat kali ketiga berturut-turut mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket Barisan Nasional (BN) sejak dua penggal lalu.
Beliau akan dicabar Dr Siti Mastura Muhammad (PAS); Muhammad Danial Abdul Majeed (PH) dan Hamidi Abu Hassan (GTA). – Malaysiapost

