BARISAN Nasional (BN) perlu menang sekurang-kurangnya 80 hingga 90 kerusi Parlimen jika mahu mengetuai kerajaan campuran yang mungkin terbentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hanya jumlah kerusi besar akan membolehkan BN mengetuai kerajaan campuran itu yang mungkin dibentuk jika tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Parlimen.
“BN bertanding di 178 kerusi Parlimen dan seperti yang selalu disebutkan kepemimpinan di peringkat Umno dan BN, kita mesti dominan. Kalau dapat 80 atau 90 kerusi Parlimen, lebih mudah untuk parti lain bersama kita.
“Kalau kita hanya ada 40 kerusi tetapi orang lain 60 kerusi, tidak mungkin lagi kita boleh mengetuai kerajaan campuran itu. Sasaran kita kalau boleh melintasi 112 kerusi dan boleh membentuk kerajaan.
“Kalau kita jemput mereka sertai kita, tentulah Perdana Menteri datang daripada kita. Kalau kita dapat 30, orang lain 80, maka orang lainlah akan menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam program Ruang Bicara Khas Kestabilan & Kemakmuran Bersama Perdana Menteri, malam ini.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata jika situasi itu berlaku, masih terlalu awal untuk melihat pihak yang dipilih BN untuk membentuk kerajaan, namun yakin ia pasti akan membabitkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kita juga sedia bekerjasama dan menjemput Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN Sabah, kerana berapa banyak kerusi sekalipun, kita dapat, termasuk 120 atau 130 kerusi, kita mesti mempunyai parti dari Sabah dan Sarawak.
“Mereka tidak boleh ditinggalkan dalam gabungan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Ditanya kemungkinan BN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) pasca PRU-15, Ismail Sabri menegaskan situasi itu tidak mungkin berlaku kerana Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Perhimpunan Agung Umno sudah memutuskan menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan PKR.-Malaysiapost

