JANGAN kaitkan kes rasuah di mahkamah yang melibatkan pemimpin tertentu dengan Umno, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata adalah tidak wajar pertuduhan yang dikenakan terhadap pemimpin itu adalah membabitkan perbuatan mereka sebagai individu, dan tidak berkait dengan Umno.
“Tindakan dua atau tiga individu yang melakukan amalan rasuah, tidak boleh digunakan untuk menggambarkan keseluruhan tiga juta ahli parti juga sebagai perasuah.
“Dari segi pemimpin yang rasuah dan sebagainya, ia tidak babitkan parti tetapi individu. Individu yang ada kes diambil tindakan, dan ia dikenakan terhadap individu. Ia tidak mengatakan parti Umno itu rasuah,” katanya dalam program Ruang Bicara Khas Kestabilan & Kemakmuran Bersama Perdana Menteri, malam ini.
Naib Presiden Umno itu juga mengulangi pendirian tidak akan campur tangan dalam kes membabitkan pemimpin Umno atau urusan mahkamah lain dan agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Polis bebas menyiasat sesiapa sahaja dan tidak ada campur tangan daripada kerajaan bila dihadapkan ke mahkamah, mereka perlu menghadapi mahkamah secara bersendirian dan tidak boleh heret parti bersama dalam isu berkaitan dengan mereka,” katanya.
Jelasnya pendirian itu membezakan Umno dengan Pakatan Harapan (PH) yang menggugurkan kes mahkamah membabitkan pimpinannya ketika menjadi kerajaan selama 22 bulan seperti kes bekas Menteri Kewangan yang juga Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa.
“Cuba bayangkan pemimpin besar kita Datuk Seri Najib Razak, bekas Perdana Menteri, bekas pengerusi Barisan Nasional (BN), bekas presiden Umno, tetapi bila berdepan kes mahkamah, keputusan kerajaan ialah tidak campur tangan dalam urusan mahkamah.
“Kita kotakan apa yang kita cakap. Inilah beza antara PH dengan BN. Mereka cakap seolah-olah pejuang hak asasi, menghormati kedaulatan undang-undang, tetapi merekalah yang melanggar segala yang dijanjikan untuk mengangkat martabat sistem perundangan, kehakiman dan sebagainya,” katanya. – Malaysiapost

