90 kerusi dalam gengaman, Rafizi optimis PH lepasi angka 100

0
2

BERBAKI empat hari sebelum pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Rafizi Ramli mendakwa 90 kerusi Parlimen sudah berada dalam gengaman Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden PKR itu berkata, hasil data yang dikumpulkan Invoke menunjukkan PH tidak mustahil boleh melepasi 100 kerusi Parlimen dalam beberapa hari lagi.

“Semua kerusi-kerusi kita di negeri-negeri yang kubu kuat kita, iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan kubu kuat terbaru kita iaitu Negeri Sembilan, kita akan menang besar di kesemua keempat-empat negeri ini.

“Negeri tumpuan kita yang baru iaitu Perak, juga kita nampak ada peningkatan yang mendadak terutamanya dari pengundi-pengundi Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ceramah di Balik Pulau, Pulau Pinang, malam semalam.

Rafizi yang bertanding di Parlimen Pandan turut mendakwa, Barisan Nasional (BN) ketika ini hanya mampu menguasai 40 kerusi Parlimen.

Malah, Rafizi menggesa penyokong Umno supaya membiarkan parti mereka kalah agar parti itu benar-benar melakukan pembaharuan.

“Kalau ada kawan saya daripada Umno dekat sini, saya nak beritahu, perkara yang paling baik boleh berlaku kepada Umno, ialah kalah pilihan raya.

“Hanya apabila Umno kalah pilihan raya, mereka ada peluang untuk buang Zahid (Ahmad Zahid Hamidi) dan juga geng-geng ini keluar.

“Kalah dulu, buang dulu yang bersama-sama dengan Najib (Razak) yang banyak sakau duit, yang main perkauman.

“Bagi satu dua penggal, kalau Umno betul-betul insaf, insyaAllah rakyat akan bagi peluang balik kepada Umno.” katanya.

Pada masa sama, Rafizi menegaskan, PH akan mengambil Perak sambil mengekalkan kebanyakan kerusinya di Melaka dan Johor.

Jelasnya, PH telah belajar daripada pengajaran pahit daripada kekalahannya semasa pilihan raya negeri Melaka dan Johor, yang menuntut gabungan itu mendengar suara rakyat dan membuat perubahan.

“Sekarang saya boleh sebut, rakyat telah kembali bersama-sama Pakatan Harapan, dan InsyaAllah, kita akan ke Putrajaya,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here