Peja akui beli 2 bot untuk bisnes pelancongan di Langkawi

0
2

CALON Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengaku membeli dua bot seperti mana isu yang tular dalam media sosial.

Timbalan Presiden Bersatu itu berkata, kedua-dua bot tersebut dibeli dengan harga RM50,000 dan RM80,000 daripada seorang pelayar Eropah yang terkandas di Malaysia ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, bot itu kemudiannya diubah suai untuk tujuan pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah.

“Macam mana saya dapat bot ini? Pada waktu Covid-19 ada seorang pelayar ini dia datang dari Eropah belayar menggunakan bot tersebut dan sampai ke Langkawi.

“Apabila kita mengadakan PKP beliau mungkin mendapat tekanan hidup kerana bersendirian di sini, maka membuat keputusan untuk meninggalkan negara ini sebaik sahaja kita membuka sempadan.

“Ketika itulah dia mencari pembeli kepada kapal layar dia yang dijual dengan harga yang begitu murah,” katanya menerusi rakaman video dalam Facebooknya, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, tiada salahnya beliau membeli bot berkenaan yang kemudian diubah suai dan memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan di Pulau Langkawi.

“Saya minta sahabat saya yang menjalankan perniagaan bot ini untuk pelancong-pelancong di sana (di Langkawi), saya buat perniagaan sikit.

“Yang penting untuk anak-anak Melayu di Langkawi dapat bekerja sebagai kapten dan kru. Terima kasihlah kepada siapa yang telah cuba mempromosikan apa yang saya ada di Langkawi itu,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai dakwaan beliau membeli dua kapal layar di Langkawi.

Dalam hantaran sama, beliau turut menyertakan tanda pagar #botbukanyatch dan #pejanotjholow. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here