DATUK Wira Dr Azizan Osman menyeru rakyat Malaysia yang layak untuk menjalankan tanggungjawab dengan keluar mengundi pada Sabtu ini bagi memilih pemimpin negara.
Mentor usahawan itu berkata, pengundi yang layak, apatah lagi umat Islam wajib menjalankan tanggungjawab memililih calon mewakili mereka kelak.
Beliau bagaimanapun mengingatkan pengundi tidak memangkah semua calon pada kertas undi kerana ia hanya akan menyebabkan undi rosak.
“Jika kita rosakkan undi, anda sama seperti pemimpin yang tak bertanggungjawab.
“Setiap satu undi anda bererti, jika kita pilih pemimpin yang baik ia akan jadi dokongan untuk mewakili sesuatu Parlimen dengan orang yang baik.
“Saya bercakap tentang manusia, di mana setiap pengundi memilih orang yang akan menjadi wakil mereka nanti,” katanya dalam video yang dimuat naik dalam laman Facebook Azizan Osman Official semalam.
Beliau berucap pada majlis hari kelahirannya yang dihadiri anak didiknya dan usahawan yang berhampiran di pejabat RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks).
Dalam pada itu, Dr Azizan berkata, setiap orang juga sebenarnya merupakan pemimpin sejak dalam kandungan ibu lagi, malah sedang memimpin diri mereka.
“Justeru, kita mempunyai hak untuk memilih, maka kita semua juga sebagai pemimpin bertanggungjawab kepada siapa yang diundi.
“Jadi pilihlah mereka yang akan memberikan kebaikan kepada Islam. Orang Islam yang akan menyokong dan mendokong kebaikan supaya dapat hidup dengan aman sejahtera,” katanya.
Terdahulu, Dr Azizan menzahirkan rasa syukur dengan apa yang dinikmatinya hari ini termasuk masa ‘bonus’ agar dapat terus memberi manfaat dan membantu orang ramai khususnya usahawan meningkatkan tahap ekonomi serta kewangan mereka. – Malaysiapost

