PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru supaya laporan polis dibuat bagi menyiasat pencipta dan penyebar fakta palsu berhubung kajian jumlah kerusi dimenangi parti politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahmad Zahdi berkata, fakta palsu yang disebarkan itu juga menggunakan nama agensi keselamatan negara termasuk Bukit Aman, Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Selain itu, katanya, data itu turut mengaitkan negara luar termasuk kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia Intel, sekali gus melibatkan kedaulatan negara.
“Sedangkan lazimnya jika ada kajian pihak keselamatan maka ia adalah di bawah Akta Rasmi Kerajaan (OSA).
“Keghairahan menggunakan agensi-agensi keselamatan negara adalah menunjukkan betapa terdesaknya kelompok tertentu ini untuk mendapatkan undi hingga sanggup menipu rakyat Malaysia,” katanya menerusi Facebook.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu perlu diberikan pengajaran besar selain pengundi dinasihatkan tidak terpedaya dengan dakyah palsu musuh BN.
“Bagi penyokong parti tertentu yang terdesak ini, berkempenlah secara bertanggungjawab. Janganlan gunakan taktik kotor untuk menipu pengundi.
“Cukuplah hanya sekali negara kita diperintah 22 bulan dengan slogan mereka ‘manifesto bukan kitab suci’ dan bersama sekutu mereka parti Bersatu,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, sebelum ini terdapat survei yang dilihat hanya propaganda untuk mempromosi parti tertentu dengan bersembunyi atas nama hasil penyelidikan atau institusi berkaitan.
“Apabila telah didedahkan perkara ini beberapa hari lepas, kini muncul pula pihak tertentu yang mencari cara lain untuk memesongkan fakta dengan memberikan fakta palsu dan menipu rakyat.
“Menjelang hari mengundi semakin terdesak pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Malah berani pula menggunakan nama agensi-agensi keselamatan dan kerajaan selain nama institusi penyelidikan bukan kerajaan.
“Tujuannya adalah untuk memesongkan fakta agar pengundi terpengaruh dengan kononnya hasil daripada agensi keselamatan dan badan -badan penyelidik lain,” katanya.
Calon BN Parlimen Bagan Datuk itu berkata, perkara itu perlu diberi perhatian kerana bagi mereka yang naif mengenai propaganda politik, sudah pasti mereka akan percaya dengan sebaran palsu puak terdesak tersebut.
“Namun inilah matlamat pencipta dakyah palsu untuk menarik pengundi. Mencipta persepsi palsu di atas angin dalam usaha menenggelamkan kredibiliti dan keyakinan rakyat terhadap BN.
“Pencipta dakyah palsu ini tidak semestinya daripada penyokong yang meletakkan kedudukan mereka paling tertinggi.
“Ia boleh juga dilakukan oleh penyokong yang meletakkan kedudukan parti mereka nombor 2. Hal ini boleh difahami agar pengundi akan memilih di antara nombor 1 atau 2 sahaja untuk petunjuk kepada pengundi.
“Strategi ini sangat mudah dibaca bagi sudah tahu helah berpolitik terutama kalangan penyokong mereka berpendapat hanya cara inilah sahaja yang dapat meningkatkan undi terhadap parti mereka.
“Walaupun hakikatnya parti mereka tidak popular, dijangka kalah teruk dan tidak menjadi pilihan ramai,” katanya. – Malaysiapost


