KERTAS siasatan Razman Zakaria berhubung ucapan dipercayai berunsurkan fitnah dan tular sejak 6 November lepas, telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya telah melengkapkan siasatan terhadap calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol itu dan kini menanti arahan selanjutnya.
“Kertas siasatan sudah diberi kepada TPR baru-baru ini dan sedang menunggu arahan selanjutnya. Setakat ini tiada mana-mana individu yang dipanggil dan bergantung kepada siasatan TPR,” katanya ketika ditemui media di Balai Polis Pasir Putih, Ipoh, hari ini.
Pada 6 November lalu, tular sebuah video yang memaparkan Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak mendakwa Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa budaya amalan tidak bermoral.
Razman mendakwa Anwar mengamalkan budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan mahu menghalalkan perkahwinan sejenis manakala DAP membawa agenda komunis. – Malaysiapost

