Kempen ekstrem: Rafizi lapor polis terhadap PAS, PN

0
2

PAKATAN Harapan (PH) hari ini membuat laporan polis terhadap kempen esktrem oleh PAS dan Perikatan Nasional (PN).

Ia berhubung kenyataan Ketua Pemuda PAS Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir kononnya pengundi Barisan Nasional (BN) dan PH akan masuk neraka.

Satu lagi laporan dibuat berkaitan pelakon, Zul Huzaimy yang membuat kenyataan ‘mahu menyembelih kafir harbi’ ketika berceramah di pentas PAS, baru-baru ini.

Laporan polis itu dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya hari ini.

Perkembangan tersebut dikongsi Rafizi menerusi hantaran di Facebooknya.

Baru-baru ini, tular video Mohd Shahiful dalam sebuah ceramah selepas mendakwa individu yang tidak mengundi PN, akan masuk api neraka.

“Ingat pesan saya kepada semua pengundi di Sik yang nak mengundi, balik pangkah PN. Siapa yang pangkah BN dan PH, masuk api neraka,” katanya.

Semalam Zul Huzaimy membuat permohonan maaf atas kenyataannya yang menyebut ‘mahu menyembelih kafir harbi.

Pelakon berusia 43 tahun itu dikatakan membuat kenyataan tersebut dalam satu ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.

Zul Huzaimy menerusi hantaran di Instagram, memuat naik video permohonan maaf berdurasi tiga minit 21 saat pada awal pagi tadi.

Dalam video itu, dia menafikan dirinya terlalu ekstrem hingga membuat kenyataan tersebut sebaliknya meminta rakyat mendengar semula video itu dalam durasi yang lebih panjang kerana penerangannya lebih terperinci. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here