Calon Umno diingatkan jangan jadikan PRU-15 pentas kempen pemilihan parti

0
2
umno

SEMUA calon Umno diingatkan tidak menjadikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebagai pentas ‘berkempen’ untuk pemilihan parti, yang akan diadakan enam bulan selepas pilihan raya umum itu.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sebaliknya kesemua calon Umno hendaklah menggunakan tempoh yang masih ada ini dengan berkempen habis-habisan untuk memenangi kerusi yang ditandingi mereka.

“Kita belum tentukan bila pemilihan (parti itu), yang pasti tidak lewat daripada 19 Mei 2023. Oleh kerana itu, saya harap pihak-pihak ini (calon-calon) berhenti berkempen untuk pemilihan Umno.

“(Yang penting) kita hendak menang pilihan raya (umum ini). Kita cuma ada lima hari saja lagi (tempoh berkempen).

“Lupakan perkara itu (pemilihan parti) buat sementara waktu, kemudianlah kita fikirkan mengenainya,” katanya kepada pemberitadi Kampung Ayer Baloi, Pontian hari ini.

Beliau -berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai terdapatnya calon Umno yang seolah-olah menjadikan PRU-15 sebagai medan kempen pemilihan parti.

Ahmad menasihati calon-calon Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya mengadakan ‘pecutan’ pada hari-hari terakhir berkempen sebelum tengah malam Jumaat ini.

“Saya nak ingatkan semua (calon) tiada undi penentu. Kena anggap semuanya (tak kira kaum atau kategori) adalah undi penentu. Setiap undi penting,” katanya.

Pada 29 Julai lepas, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan usul pindaan Perlembagaan Umno bagi menangguhkan pemilihan parti sehingga enam bulan selepas PRU-15 diadakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here