PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 November ini bagi memudahkan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, pengumuman hari kelepasan am dua hari itu dibuat berikutan ada kemungkinan syarikat swasta beroperasi pada Sabtu.
“Hari mengundi PRU15 menjelang tiba. Sukacita saya umumkan kerajaan menetapkan Jumaat dan Sabtu iaitu 18 dan 19 November ini, sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan Keluarga Malaysia mengundi,” katanya.
Ismail Sabri turut mengumumkan tarikh pembayaran gaji untuk penjawat awam diawalkan pada 17 November ini dan bagi pesara pula, bayaran pencen adalah pada hari ini.
Sementara itu, beliau berkata bagi memudahkan pengundi balik mengundi, pemberian tol percuma untuk 30 konsesi Lebuh raya ditawarkan dua hari kepada para pengguna sempena PRU15.
Tol percuma tersebut bermula dari pukul 12.01 pagi 18 November (Jumaat) hingga 11.59 malam pada hari Sabtu, 19 November, melibatkan semua kenderaan jenis persendirian Kelas 1 sahaja yang dianggarkan sekitar 90 peratus dari jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya.
“Implikasi kewangan daripada inisiatif ini akan diserap sepenuhnya syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sebagai salah satu dari inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka, dengan anggaran kos tanggungan sebanyak RM34.5 juta,” katanya dalam majlis pecah tanah bangunan CUEPAC di Putrajaya hari ini.
Menrutnya, tawaran pemberian tol percuma ini diputuskan setelah mengambil kira cadangan dan rundingan yang melibatkan antara Kementerian Kerja Raya dengan semua syarikat pengendali konsesi lebuh raya.
Tambahnya, menerusi inisiatif itu kerajaan berharap dapat meringankan serba sedikit beban kewangan para pengguna khususnya warganegara untuk pulang mengundi demi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dalam sistem demokrasi yang diadakan pada setiap lima tahun sekali. – Malaysiapost

