Sebut mahu sembelih kafir harbi, Zul Huzaimy mohon maaf

0
2

PELAKON Zul Huzaimy atau lebih dikenali sebagai Spark tampil membuat permohonan maaf di atas kenyataannya yang menyebut ‘mahu menyembelih orang bukan Islam’ baru-baru ini.

Pelakon berusia 43 tahun itu dikatakan membuat kenyataan tersebut dalam satu ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.

Zul Huzaimy menerusi hantaran di Instagram, memuat naik video permohonan maaf berdurasi tiga minit 21 saat pada awal pagi tadi.

Dalam video itu, dia menafikan dirinya terlalu ekstrem hingga membuat kenyataan tersebut sebaliknya meminta rakyat Malaysia mendengar semula video itu dalam durasi yang lebih panjang kerana penerangannya lebih terperinci.

“Jangan salah anggap hanya berdasarkan klip video pendek itu kerana ia menggambarkan kenyataan yang kurang tepat.

“Apa yang saya sebut ialah orang bukan Islam (kafir zimmi) wajar dijaga sebaiknya kerana mereka juga menyokong pemerintahan Islam di negara ini, mereka ini adalah baik dan wajib pemimpin yang beragama Islam menjaga mereka.

“Ada pun kafir harbi (yang disebut dalam video ucapan) adalah musuh Islam yang nyata, maksud saya di sini ialah ‘Non Muslim’ yang benci Islam, suka perkauman, buat hal hingga tak benarkan azan berkumandang di sesetengah tempat terlalu kuat.

“Semalam saya dapat satu video, ada sekumpulan pemain gendang di Pulau Pinang, bergendang dengan kuatnya di depan sebuah masjid, sedangkan orang Islam sedang azan Isyak dan solat Isyak.

“Benda inilah yang kita harus faham, yang saya maksudnya golongan Non Muslim yang segelintir ini, kena faham di situ,” katanya dalam video itu.

Sementara itu, pelakon filem ‘Anak Halal’ itu juga berharap kenyataan dalam video itu tidak disensasikan sebagai ucapan berunsurkan kebencian.

Tambahnya, dia sendiri mempunyai ramai sahabat pelbagai kaum termasuk Cina, India dan Sikh serta cintakan kedamaian serta saling menghormati kepelbagaian agama dan kaum di negara ini.

“Saya bukanlah terlalu ekstrem atau suka bergaduh, malah arwah makcik saya pun seorang Cina beragama Islam, begitu juga kawan saya Adam Corrie juga kaum Cina yang beragama Islam.

“Yang saya maksudkan bila ada sesetengah pihak yang cuba memanaskan keadaan dengan membenci Islam sebagai agama rasmi Malaysia, itu maksud saya.

“Saya pun tak sokong mana-mana kumpulan Islam yang ekstrem nak membunuh sesuka hati tanpa mempedulikan undang-undang negara, saya pun tak sokong begitu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here