Maritim Malaysia kesan tumpahan minyak di perairan Tanjung Tuan

0
3

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan mengesan tumpahan minyak di perairan Tanjung Tuan, Port Dickson, Negeri Sembilan kira-kira 1.3 batu nautika menghala ke Pulau Perjudi.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah, berkata tumpahan minyak itu ditemui ketika bot peronda Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan di perairan Tanjung Tuan, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Katanya, kesan tumpahan minyak itu turut kelihatan hingga ke Pantai Tanjung Tuan serta Teluk Kemang.

“Hasil pemeriksaan mendapati tumpahan minyak itu menyebabkan pencemaran laut sehingga kira-kira tiga batu nautika di perairan Tanjung Tuan sehingga ke Teluk Kemang.

“Hasil pemantauan dan rondaan pihak kami di sekitar lokasi, tidak pula kelihatan kapal minyak atau kapal dagang yang melakukan kerja pembuangan minyak ke laut,” katanya seperti dilapor Berita Harian. 

Susulan itu, beliau berkata, Maritim Melaka dan Negeri Sembilan sudah memaklumkan insiden berkenaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, JAS Negeri Sembilan dan Balai Bomba Telok Kemang yang kemudiannya turut membantu dengan mengambil sampel tumpahan minyak serta melakukan kerja pembersihan tumpahan minyak.

Mengulas lanjut, Haris Fadzillah berkata, pihaknya masih belum dapat mengesahkan pihak yang bertanggungjawab melakukan aktiviti pencemaran itu kerana dimaklumkan tiada kapal berada di kawasan berkenaan yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mencari pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.

“Siasatan dilakukan mengikut Akta Alam Sekitar dan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.

Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perairan Melaka serta Negeri Sembilan selamat, aman dan terkawal.

Sebarang aduan kecemasan dan maklumat jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. -Malaysiapost

Foto Kredit: Berita Harian