Nurul Huda Abhar
TINDAKAN Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan mempunyai sokongan yang cukup untuk menggulingkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah semata-mata untuk kepentingan peribadi.
Ketua Penerangan Parti Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, keputusan Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong pagi tadi untuk menyerahkan dokumen senarai ahli yang menyokongnya adalah sangat tidak wajar dengan keadaan negara sekarang.
“Apa yang difikirkan hanyalah cita-cita peribadi sahaja, tanpa memikirkan ketidakstabilan politik kepada ekonomi negara dan kebajikan rakyat,
“Ia juga melambangkan betapa Anwar semakin lama semakin terpisah daripada denyutan nadi rakyat yang mahukan kestabilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wan Saiful, ini bukan kali pertama Anwar mengambil tindakan dengan cuba menggugat kestabilan kerajaan dengan penipuan yang sama.
Katanya, strategi yang diambil Anwar untuk menggulingkan kerajaan kelihatan sangat terdesak dan tidak mungkin dapat diterima rakyat.
“Sekiranya inilah strategi terdesak yang beliau mahu gunakan, saya cadangkan beliau bersara sahaja daripada politik negara dan benarkan tokoh lain mengambil alih kepimpinan pembangkang supaya pembangkang di negara kita oleh menjadi pembangkang yang konstruktif,” ujarnya,
Beliau juga menegaskan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap mendapat sokongan majoriti Bersatu.
Terdahulu, Anwar mendakwa sudah menyerahkan dokumen mengandungi lebih 120 Ahli Parlimen yang menyokongnya menjadi Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, pagi tadi.
Susulan itu, Istana Negara menerusi kenyataan mengesahkan Anwar telah mengemukakan jumlah Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut. – Malaysiapost
Foto Kredit: Malay Mail

