CALON Barisan Nasional (BN) Parlimen Tebrau, Datuk Nicole Wong Siaw Ting menunjukkan bakat sukan dengan ‘beraksi’ bersama legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei, pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Siaw Ting berkata, ramai peminat badminton di Parlimen Tebrau yang datang untuk menyertai ‘Tebrau Cup Tournament’, dalam masa sama bertemu Chong Wei.
“Pada waktu yang sama, kita juga ambil kesempatan ini untuk bertemu dengan pemain badminton negara kita, Datuk Wira Lee Chong Wei.
“Chong Wei sempat beramah mesra sambil bermain badminton dengan warga Tebrau. Malah, saya dan keluarga juga berpeluang bermain dengan beliau,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Pemuda MCA berkata, kehadiran orang ramai di kejohanan berkenaan membuktikan sukan mampu menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
“Ada yang kerana minatnya sendiri, atau ada yang mungkin dipengaruhi oleh Chong Wei dan pemain-pemain badminton Malaysia yang lain.
“Badminton menjadi salah satu sukan kegemaran ramai rakyat Malaysia. Apa yang saya lihat di sini bukan sahaja kegemaran anak Malaysia terhadap badminton, tetapi juga kemampuan sukan ini menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Justeru katanya, beliau berharap lebih banyak acara sukan dianjurkan bagi menggalakkan lebih ramai orang untuk bersenam dan mengekalkan gaya hidup sihat.
“Seperti masa kita menonton pemain Malaysia mengambil bahagian dalam pertandingan badminton antarabangsa bersama-sama di restoran mamak, kita mengetepikan perbezaan kaum dan sama-sama menjerit: Malaysia Boleh!
“Saya juga berharap semangat kesukanan ini dapat diaplikasikan dalam politik, bahawa kita semua bekerja keras terhadap matlamat yang sama, iaitu demi masa depan yang cerah negara kita, Malaysia,” katanya.
Parlimen Tebrau bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Siaw Ting (BN), Jimmy Puah Wee Tse (PH) dan Mohamad Isa Mohamad Basir (PN). – Malaysiapost

