PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menafikan tuduhan liar yang mendakwa parti itu anti-Islam atau bermusuh dengan agama berkenaan.
Beliau berkata, sekiranya DAP anti Islam pastinya parti itu tidak akan meluluskan peruntukan untuk projek pembinaan masjid termasuk di Batu Kawan, Pulau Pinang.
Katanya, perkara itu terbukti apabila peruntukan RM6.6 juta diluluskan untuk pembinaan Masjid Bandar Raya di Batu Kawan, Seberang Perai, Pulau Pinang, ketika pentadbiran PH.
“Malangnya semua tak jadi selepas ‘kerajaan pintu belakang’ Barisan Nasional/Perikatan Nasional mengambilalih dan enggan memproses peruntukan tersebut,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, beliau menghadiri sesi dialog bersama-sama penduduk di Taman Mutiara, Bandar Cassia, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof P Ramasamy dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Dalam pada itu, Guan Eng turut menzahirkan rasa tidak puas hati apabila DAP dituduh sebagai parti anti-Islam, selepas projek pembinaan masjid berkenaan tertangguh.
“Malah mereka (PN/BN) menuduh DAP anti Islam. Sendiri salah tetapi salahkan orang lain.
“Jika DAP anti Islam, kami tak akan luluskan peruntukan tersebut. Anehnya BN/PN yang lambatkan projek ini, tapi kami yang dilabel gelaran bukan-bukan,” katanya.
Sementara itu, Guan Eng berkata, pada pertemuan dengan penduduk Batu Kawan, hari ini, beliau menerangkan kepada pengundi bahawa DAP tidak bermusuh dengan Islam.
“Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow juga menjelaskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempertimbangkan untuk memulakan kerja-kerja awalan bagi pembinaan masjid dengan peruntukan kerajaan negeri.
“Ayuh, sama-sama kita pastikan kemenangan berpihak kepada PH supaya kami boleh kembalikan peruntukan masjid kepada penduduk Batu Kawan,” katanya. – Malaysiapost

