BN nak menang, kita nak dominan – Saarani

0
3

Najamuddin Mohd Nor

PEMBANGKANG sentiasa berusaha meracuni pemikiran rakyat dengan naratif-naratif ke arah mewujudkan kerajaan yang tidak stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, naratif negatif kononnya akan wujud jajaran baharu BN bersama Pakatan Harapan (PH) adalah permainan pembangkang yang sentiasa berusaha meracuni pemikiran rakyat.

“Jangan kita meracuni pemikiran rakyat. Rakyat ni nak kerajaan yang kuat dan stabil. Mereka diracuni maka mereka akan mengundi tanpa pemikiran yang rasional, ikut perasaan dan emosi.

“Kita tak nak macam tu, kita nak rakyat kita buat keputusan dengan tenang. Jangan layan kerenah-kerenah pembangkang yang sentiasa cuba meracuni dan menghasut,” katanya kepada Malaysiapost ketika ditemui di Seri Iskandar, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata demikian mengulas tindakan pembangkang yang menjadikan naratif kerjasama BN-PH sebagai bahan kempen ketika ini.

Menjelaskan mengenainya, Saarani menegaskan, BN meletakkan sasaran untuk menang pada PRU15 sekali gus dapat membentuk kerajaan secara dominan di peringkat pusat dan negeri.

Saarani turut menafikan tiada perbincangan untuk menjalinkan kerjasama antara BN dan mana-mana pembangkang kerana BN sememangnya bertekad untuk membentuk kerajaan yang stabil, kuat dan dominan menerusi PRU15 ini.

“Kita ingatkan semua parti-parti jangan meracuni pemikiran rakyat. Rakyat ini tengah susah sekarang ni.

“Selepas Covid-19 rakyat mengharapkan pilihan raya yang adil, saksama. Di mana parti-parti yang bertanding lebih baik menceritakan apa yang nak buat. Semua itu mestilah ke arah membuat kebajikan kepada rakyat.

” Tak ada (kerjasama) …. Kita nak menang, kita nak dominan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here