PAS mensasarkan kemenangan dua kali ganda dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan menang 36 kerusi Parlimen di seluruh negara.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata keyakinan itu berikutan sokongan kuat yang diperoleh gabungan parti dibawah Perikatan Nasional (PN) selain kedudukan PAS sebagai sebahagian daripada kerajaan.
“Kita opitimis dengan sokongan rakyat kepada PN, selain proses berkempen yang berjalan dengan baik sekali gus memberi keyakinan bahawa PAS boleh memenangi lebih daripada 18 kerusi yang disandang sebelum ini.
“Dahulu kita ini pembangkang yang hanya berpengaruh besar di Kelantan, namun kini sokongan dilihat lebih luas melalui gabungan dibawah PN,” katanya dalam sidang media selepas melawat persiapan akhir pengoperasian solar Danau Tok Uban, hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai lantikan Datuk Mumtaz Mat Nawi, sebagai Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Tumpat, Takiyuddin berkata tiada apa-apa yang perlu dipersoalkan.
“Apabila pegawai pengurus PRU sudah menerima borang pencalonan, bermaksud beliau layak untuk bertanding walaupun memegang jawatan bergaji sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Kelantan.
“Saya sendiri masih memegang jawatan dalam kementerian dan nasihat perundangan menunjukan pemegang jawatan seperti kami layak untuk bertanding dalam PRU-15,” katanya. – Malaysiapost

