Zainol Fadzi, Razman calon MB Perak – Ahmad Faizal

0
2

PESURUHJAYA PAS Perak, Razman Zakaria dan Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin antara nama dicalonkan sebagai Menteri Besar Perak jika PN menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata nama mereka akan dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terlebih dahulu untuk perkenan baginda.

“Apabila kita berjaya untuk membentuk kerajaan, kita akan persembahkan kepada Sultan Perak, ini adalah kuasa prerogatif Tuanku untuk menentukan.

“Ini keutamaan kepada Sultan Perak untuk menentukan, kita tidak mahu terjadi perkara penderhakaan kepada Sultan dalam kita hendak menunjukkan calon Menteri Besar kita,” katanya ketika ditemui dalam program tinjauan mesra di Tambun hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, bagi calon Menteri Besar di negeri lain, ia terpulang kepada mereka untuk mengumumkan calon yang sesuai.

Penyandang kerusi Parlimen Tambun itu berkata, Zainol Fadzi dan Razman mempunyai pengalaman kerana pernah menjadi EXCO kerajaan negeri.

Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka mengumumkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon Menteri Besar PN untuk Pahang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here