PEMUDA Umno mencadangkan Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pada 19 November ini.
EXCO Pemuda Umno, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata langkah itu akan membuka mata pengundi muda selain jaminan perubahan besar bakal dibawa Umno dan BN.
“Saya melihat bagaimana Khairy begitu diterima orang Sungai Buloh seolah-seolah kini hanya Sungai Buloh yang ada pilihan raya.
“Ini kerana kejayaan luar biasa beliau di setiap kementerian yang diterajuinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malam tadi, Khairy yang juga calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh menyuarakan hasrat memimpin Umno dan seterusnya menjadi Perdana Menteri, satu hari nanti.
Ia pertama kali dinyatakan secara terbuka oleh Khairy menggunakan pentas ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, bagi meraih sokongan pengundi di Parlimen itu untuk memilihnya pada PRU15.
Menurut Muqharabbin, orang muda mahu melihat perubahan landskap politik dalam setiap parti, justeru BN perlu berani menonjolkan dinamik dengan memberi ruang kepada pemimpin muda seperti Khairy.
“Saya yakin, seandainya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang sudah diputuskan parti sebagai Perdana Menteri, berani dan yakin meletakkan Khairy sebagai calon Timbalan Perdana Menteri, BN akan menang besar.
“Ini kerana negara akan dipimpin oleh pemimpin yang berwibawa di peringkat lokal, bahkan juga antarabangsa,” katanya. – Malaysiapost

