Karnival Keluarga Malaysia: Anak Muda Gegor Bera himpun lebih 2,000 belia

0
3

PENGANJURAN Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda GEGOR Bera, Sabtu ini dijangka menghimpunkan lebih 2,000 belia dari Parlimen Bera dan kawasan berhampiran, menerusi pelbagai program menarik termasuk e-sukan.

Pengerusi Miat Quadra E-Sport Club, Mohamad Lukman Afiq Mohamad Faizal selaku penganjur berkata karnival sehari bermula jam 9 pagi di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera itu dijangka dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain e-sukan, karnival dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Perbadanan Pembangunan Manusia Berhad (HRDCorp) itu, turut menawarkan 1,500 kerja menerusi acara JaminKerja.

“Setakat ini 38 kumpulan e-sukan telah mendaftar dengan semuanya anak tempatan Bera, namun penyertaan juga terbuka kepada mereka dari luar Bera, bagi merebut hadiah wang tunai serta cabutan bertuah.

“Pasukan e-sukan negara, Team Haq Esports Club yang muncul juara perlawanan Liga Profesional Mobile Legend (MPL) MY musim ke-10 juga akan hadir karnival ini,” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen Bera, Padang Luas hari ini.

Penganjuran pertandingan e-sukan itu bertujuan mencungkil bakal belia dalam sukan tersebut, yang kini menjadi kerjaya sukan dengan ramai pemain muda berjaya di peringkat antarabangsa.

Selain itu, Mohamad Lukman Afiq berkata acara lain yang akan berlangsung ialah ujian pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan motosikal, konsert Keluarga Malaysia dan jualan pelbagai barangan menerusi trak makanan dan gerai. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here